PKB nafi tiada pertemuan pemaju, pemilik tanah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Dakwaan tiada pertemuan antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu tidak benar sama sekali.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, sebaliknya beberapa pertemuan dan rundingan susulan sudah dilaksana di antara pihak PKB, pemaju dan penduduk bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

“Susulan sidang media pada 4 Disember lalu berkenaan isu pampasan pemilik tanah, Flat PKNS Sungai Baru, Kampug Baru oleh pemilik tanah, satu sesi perjumpaan Menteri Wilayah Persekutuan (MWP) bersama pemilik diaturkan pada 6 Disember di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta perjumpaan MWP bersama pemaju pada 8 Disember lalu.

“Hasil perjumpaan itu, menteri meminta pemaju mengkaji semula tawaran atau pakej lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai,” katanya bagi menjawab dakwaan dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Rabu lalu, Khalid dilaporkan berkata sehingga kini, tiada pertemuan dibuat antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru dengan Shahidan bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kawasan berkenaan.

Kenyataan itu juga menjelaskan pada 10 Disember lalu, pemaju bersetuju menyediakan satu tawaran baru dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat yang sudah diputuskan jumlah pampasan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) pada sesi siasatan pengambilan tanah.

Katanya, Pakej Harmoni itu menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi (83.6 meter persegi) bernilai RM300,000 dengan jumlah pampasan pengambilan tanah diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki Pakej Harmoni ini dengan harga RM125,000 saja. Kediaman ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berserta satu petak tempat letak kereta.

“Bagi Pakej Harmoni untuk pemilik teres akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah (land enquiry) yang akan diadakan kelak. Secara umumnya, kaedah pembangunan semula secara hibrid iaitu usaha sama dan pengambilan tanah ini dilaksanakan adalah dilihat sebagai suatu kaedah terbaik dan realistik bagi merealisasikan pembangunan semula secara organik di Kampung Baru,” katanya.

PKB menjelaskan, projek pembangunan semula ini dijangka mengambil masa 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pendekatan pelaksanaan ini bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot berikutnya dalam tempoh terbabit.

“Pendekatan dan tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini sudah menyelesaikan isu pemilik tanah yang terbabit dengan pengambilan tanah,” katanya.

Selain itu, katanya, bermula pada 22 Disember lalu hingga ke hari ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi termasuk PKB turut bekerjasama dengan negeri lain dalam membantu menyelamat, memindah serta menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan Keluarga Malaysia.

“Ini termasuk bantuan kepada warga Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas teruk ekoran banjir besar membabitkan kerja pembersihan di kawasan awam, sekolah, rumah ibadah serta bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah.

“Dalam situasi kritikal ini, usaha-usaha untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat adalah fokus utama kerajaan termasuklah KWP dan agensinya,” katanya.

Sumber: Berita Harian