STATUS PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA SUNGAI BARU, KAMPONG BHARU KUALA LUMPUR
7 Januari 2022 | Kenyataan Media
KUALA LUMPUR, Jumaat, 7 Januari 2022 – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) merujuk kenyataan YB Tuan Khalid bin Abd Samad, Ahli Parlimen Shah Alam di akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2022 berhubung dakwaan tiada pertemuan dibuat antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru bersama Menteri Wilayah Persekutuan bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu Kuala Lumpur adalah tidak benar sama sekali.
Beberapa pertemuan dan rundingan susulan telah dilaksanakan di antara pihak PKB, Pemaju dan Penduduk bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini. Susulan sidang media pada 4 Disember 2021 berkenaan isu pampasan pemilik tanah / Flat PKNS Sungai Baru, Kampong Bharu oleh pemilik tanah, satu sesi perjumpaan YB Menteri Wilayah Persekutuan bersama pemilik telah diaturkan pada 6 Disember 2021 di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta perjumpaan YB Menteri Wilayah Persekutuan bersama pemaju pada 8 Disember 2021. Hasil perjumpaan berkenaan, YB Menteri Wilayah Persekutuan telah meminta pemaju untuk mengkaji semula tawaran atau pakej yang lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai.
Sehubungan itu, pada 10 Disember 2021, pemaju bersetuju menyediakan satu tawaran baru yang dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat yang telah diputuskan jumlah pampasan oleh JKPTG WPKL pada sesi siasatan pengambilan tanah. Pakej Harmoni ini menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi yang bernilai RM300 ribu dengan jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju. Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250 ribu boleh memiliki Pakej Harmoni ini dengan harga RM125 ribu sahaja. Kediaman ini dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air berserta satu petak aksesori tempat letak kereta. Bagi Pakej Harmoni untuk pemilik teres akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah (land enquiry) yang akan diadakan kelak.
Secara umumnya kaedah pembangunan semula secara hibrid iaitu usaha sama dan pengambilan tanah ini dilaksanakan adalah dilihat sebagai suatu kaedah yang terbaik dan realistik bagi merealisasikan pembangunan semula secara organik di Kampong Bharu. Projek pembangunan semula ini dijangka mengambil masa 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat. Pendekatan pelaksanaan ini bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot-plot berikutnya dalam tempoh tersebut. Pendekatan dan tindakan segera YB Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini telah menyelesaikan isu pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan tanah.
Selain itu, bermula pada 22 Disember 2021 hingga ke hari ini, KWP dan Agensi termasuk PKB turut bekerjasama dengan negeri-negeri lain dalam membantu menyelamat, memindah serta menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan Keluarga Malaysia. Ini termasuklah bantuan kepada warga Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas teruk ekoran banjir besar yang melibatkan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan awam, sekolah, rumah ibadah serta bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah. Dalam situasi kritikal ini, usaha-usaha untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat adalah fokus utama Kerajaan termasuklah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi.
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu
7 Januari 2022