STATUS PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA SUNGAI BARU, KAMPONG BHARU KUALA LUMPUR – MAKLUMBALAS KENYATAAN SYED ABDULLAH

30 Ogos 2021 | Kenyataan Media

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah merujuk satu kenyataan akhbar Sinar yang dikeluarkan oleh Encik Syed Salehuddin Syed Abdullah, Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru bertarikh 30 Ogos 2021 yang mendakwa perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampong Bharu samar dan berat sebelah antara punca 110 penduduk di kawasan itu menolak tawaran tersebut lima tahun lalu.

  1. Pembangunan semula Kampung Sungai Baru merupakan inisiatif kerjasama swasta antara pemilik tanah / petak dan pemaju yang dikenali Ritzy Gloss Sdn. Bhd. PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula ini selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733). Antara peranan PKB adalah pemudahcara dan membantu sesi libat urus pemilik tanah, membantu penyelesaian isu harta pusaka dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), membantu proses penyempurnaan pindahmilik strata, membantu perundingan isu-isu teknikal dan menguruskan pemantauan projek bersama pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
  1. Perjanjian usahasama tersebut adalah diantara pemilik tanah / petak dengan pihak Ritzy Gloss Bhd. PKB tidak dirujuk di dalam mana-mana terma di dalam perjanjian tersebut. Oleh yang demikian, perjanjian tersebut merupakan perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terlibat dimana PKB tiada sebarang kepentingan dan pengetahuan keatasnya.
  1. Pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021. Proses pengambilan tanah masih diperingkat siasatan oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL). Bagi lot atau petak yang terlibat dengan pengambilan tanah ini, bayaran pampasan yang munasabah dan mencukupi akan diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan yang Bayaran pampasan yang mencukupi adalah berdasarkan Jadual Pertama, Akta Pengambilan Tanah, 1960 yang telah menggariskan prinsip-prinsip berhubung dengan penentuan pampasan.

Harapan PKB, projek pembangunan semula Sungai Baru menjadi antara projek perintis dalam memajukan dan membangunkan semula Kampong Bharu. Pada masa sama, menaik taraf kehidupan pemilik-pemilik melalui hartanah secara menyeluruh dan bersepadu jangka panjang bagi memberi keselesaan kepada pemilik, menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, tidak ekonomik dan memperbaiki persekitaran bandar.

#####

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB)

30 Ogos 2021