Kampung Sungai Baru: Permohonan pasang pagar berkawat ditolak

Permohonan syarikat pemaju perumahan Ritzy Gloss Sdn Bhd untuk mendirikan pagar berkawat di sekeliling hartanah di Kampung Sungai Baru telah ditolak oleh Jabatan Perdana Menteri.
Menurut setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Azman Abidin, permohonan tersebut dibuat pada 31 Oktober yang merupakan tarikh penduduk sepatutnya mengosongkan kawasan tersebut.
Tanah di Kampung Sungai Baru ialah tanah kerajaan. Meskipun begitu kerajaan Perikatan Nasional telah memberikan kelulusan untuk mengambil alih tanah tersebut dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Pemaju telah memohon untuk memasang pagar tetapi kita menolak kerana tanah tersebut bukan milik mereka lagi. Ia milik kerajaan,” kata Azman, lapor Scoop.
“Mereka mempunyai hak perundangan untuk memohon hak milik tananah kerana di bawah akta tersebut mereka telah pun membayar 150 peratus nilai tanah tetapi mereka perlu menurut proses yang sepatutnya untuk mengambil tanah tersebut daripada kerajaan dan mencantumkannya juga.
“Memandangkan tanah tersebut milik kerajaan, tiada siapa boleh menghalau penduduk di situ.”
Sebelum ini penduduk di Kampung Sungai Baru menerima notis pengosongan bertarikh 19 Oktober. Tarikh tersebut telah dilewatkan kepada 31 Oktober.
“Kita hanya akan menghantar notis pengosongan untuk mengingatkan mereka tanah tersebut milik kerajaan. Kita tidak akan mengambil tindakan penguatkuasaan.”
Azman turut mengesahkan bahawa Jabatan Perdana Menteri telah menerima surat niat dari syarikat lain yang mahu mengambil alih projek tersebut dari Ritzy Gloss.
Sumber: Harapan Daily

Bahasa Melayu
English



